Minat terhadap dunia perniagaan tidak pernah padam dalam diri wanita ini. Walaupun ketika itu, dia berkhidmat sebagai jururawat di Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL), Timah Mat Noh, 60, tetap menyimpan impian untuk menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

Berpegang kepada prinsip berusaha gigih, Timah yang mesra dengan sapaan Sister Timah di kalangan warga kerja HKL sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik. Biarpun mempunyai pekerjaan tetap, ia tidak membuatkan Timah leka merencana masa depan.

Dalam kesibukan bekerja, wanita ini masih sempat mencuri masa mengikuti kelas membuat dan menghias kek setiap hari Jumaat ketika waktu rehat. Baginya, di mana ada kemahuan pasti ada jalan.

“Saya berpijak di bumi nyata, untuk menjadi usahawan kek yang berjaya saya mesti mempunyai kemahiran dan modal. Menyedari perkara ini, saya gigih mengikuti kelas tersebut. Walaupun hanya belajar sejam seminggu, ilmu dan pengalaman yang diperoleh saya manfaatkan sepenuhnya. Alhamdulillah, usaha saya membuahkan hasil yang memuaskan,” ujar Timah.

Ditanya mengapa bidang pastri dan bakeri yang menjadi pilihan, Timah mengatakan sejak dulu dia memang bercita-cita menceburkan diri dalam bisnes berasaskan makanan. Jika ikutkan hati, wanita ini ingin mengusahakan restoran namun memikirkan kekangan masa, modal dan anak-anak yang masih kecil, Timah memilih perusahaan kek untuk dikembangkan.

“Ternyata keputusan ini amat bertepatan, apa tidaknya sekitar tahun 1980-an sukar untuk mencari kedai kek yang diusahakan orang Islam. Saya yakin bidang ini mempunyai potensi yang besar.

“Berbekal ilmu dan pengalaman, saya menghasilkan kek dan menjual secara kecil- kecilan kepada sanak saudara dan kenalan. Saya begitu terharu apabila air tangan saya mendapat sambutan menggalakkan.

“Sejak itu, saya tekad mengembangkan bisnes. Walaupun ada kalanya berasa penat selepas seharian bekerja, saya kuatkan semangat bersengkang mata menyiapkan tempahan sehingga lewat malam. Saya puas apabila pelanggan berpuas hati dengan kek yang saya hasilkan,” ceritanya.

Berniaga Dari Rumah
Kekangan modal membatasi Timah untuk memiliki premis perniagaan. Lantaran, ibu kepada tiga cahaya mata ini berniaga secara kecil-kecilan dari rumah selama tiga tahun. Sambutan hangat yang diterima membuatkan Timah tekad untuk memiliki kedai sendiri.

“Memang sukar untuk membuat keputusan ketika itu, suami agak keberatan kerana bisnes mempunyai risiko yang tinggi. Begitu juga dengan majikan yang berat hati melepaskan saya, maklumlah saya mempunyai pengalaman 25 tahun dalam bidang perubatan. Ramai yang nasihatkan saya agar berfi kir semasak-masaknya.“Selepas pertimbangkan segalanya, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Selepas berhenti kerja, saya gigih mengembangkan bisnes. Saya menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM 50, 000 untuk dijadikan modal.

“Akhirnya tanggal 30 Jun 1999, saya membuka Kedai Kek Hidayah yang terletak di Taman Samudera, Batu Caves, Selangor . Saya tidak hanya tertumpu kepada kek malah menghasilkan pelbagai jenis roti dan biskut. Saya bertuah mendapat sokongan padu daripada suami, Mohd Sahimi dan anak- anak. Sebulan sebelum pembukaan kedai, kami anak beranak giat mempromosi dengan mengedarkan risalah di seluruh kawasan Gombak. Pada hari pembukaan, kami memberi pelanggan menikmati produk yang dihasilkan sendiri oleh saya. Reaksi yang diberikan sangat positif, saya sangat gembira dengan sambutan yang diberikan,”ujar ibu kepada Eddy, Dorren dan Aireen.

Kongsi Ilmu Dan Pengalaman
Sepanjang 14 tahun berkecimpung dalam dunia bisnes, banyak pengalaman pahit manis yang ditempuhi Timah. Katanya dugaan datang silih berganti tapi semangatnya tidak pernah goyah untuk terus maju ke hadapan.

“Saya berjaya harungi onak duri berkata doa, usaha dan sokongan keluarga. Syukur, kedai yang dahulunya beroperasi dengan menggunakan hanya sebuah peti ais, ketuhar dan meja bersama seorang juruwang telah berkembang.

“Kini kami bukan sahaja mempunyai 16 orang pekerja, malah bilangan peti ais dan ketuhar juga telah bertambah. Ruang kedai yang dahulunya hanya satu lot kini telah bertambah kepada tiga. Insya-Allah, jika tiada aral melintang kami akan berpindah ke premis yang lebih besar,” katanya yang turut menawarkan produk-produk lain seperti makanan sejuk beku (karipap, cucur badak, kuih kasturi, samosa dan donat), aneka baulu (klasik, kapucino dan pandan) serta aneka coklat.

Kejayaan tidak membuatkan wanita ini lupa diri sebaliknya dia sentiasa bersyukur dan tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman dengan golongan yang berminat. Secara jujur, Timah mengakui kekangan masa membuatkan dia tidak mampu mengendalikan kelas membuat dan menghias kek secara perseorangan.

“Namun atas dasar ingin membantu, saya adakan juga kelas atas permintaan mereka yang memerlukan seperti golongan ibu tunggal dan suri rumah tangga yang ingin menjalankan perniagaan dari rumah. Biasanya mereka dikelolakan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan beberapa buah pusat kebajikan yang terlibat. Saya berharap kemahiran ini dapat membantu menambah pendapatan mereka dan menaik taraf kehidupan keluarga mereka,”ujar Timah yang turut menerima tempahan cenderahati untuk tetamu yang ada kalanya mencecah 10,000 biji pada satu-satu masa.