Buat ibu-ibu yang baru melahirkan anak, adalah amat penting bagi merancang jarak kehamilan anak seterusnya. Lebih-lebih lagi jika proses bersalin dilakukan secara pembedahan.

Ini kerana badan perlukan rehat, kesihatan dan luka dalaman perlu dipulihkan terlebih dahulu, sebelum bersedia untuk melalui proses kehamilan dan bersalin sekali lagi.

Pelbagai kaedah boleh dicuba bagi merancang kehamilan seperti pengambilan pil perancang keluarga, susuk implant berhormon, suntikan cegah kehamilan, penggunaan kondom mahupun rancang secara sendiri (Natural method).

Menurut perkongsian ilmu oleh Prof Dr Imelda, yang juga merupakan Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine, beliau berkongsi rahsia dah kaedah merancang dengan sendiri (Natural method) sebagai panduan bagi pasangan suami isteri yang ingin mencuba kaedah ini.

Berikut antara perkongsian tersebut;

Setiap minggu di klinik antenatal, saya mesti berjumpa dengan ibu-ibu hamil yang malu-malu menyatakan yang mereka merancang 'sendiri-sendiri'.

Ramai yang memilih menggunakan kaedah perancang keluarga yang dikatakan 'Sunnah', seperti 'al-azl' dimana suami mengeluarkan air mani di luar, atau si isteri 'merancang sendiri-sendiri' iaitu menggunakan kaedah 'natural method', atau menggabungkan kedua-dua sekali.

Tidak ramai wanita Malaysia yang mendapat sokongan mempelajari kaedah 'natural method' dengan betul kerana memberi tunjuk-ajar caranya mengambil masa yang lebih lama, dan di Malaysia lebih senang bagi doktor dan jururawat mencadangkan kaedah lain yang lebih berkesan.

Tetapi dengan ilmu pengetahuan, dan motivasi, ada caranya membolehkan kita merancang sendiri.

Jika suami isteri di Malaysia nak belajar kaedah ini, kita patut menghormati pilihan mereka, dan memberi sokongan dan tunjuk ajar.

Kaedah 'natural method' ni bukan senang, tetapi kalau ingin mencuba, ada syarat-syaratnya:

1) Motivasi yang tinggi dan kerjasama dari kedua-dua suami isteri

2) Bersetuju memberi sekurang-kurangnya TIGA BULAN untuk memahami caranya, SEBELUM memulakan kaedah ini. Dalam masa 3 bulan ini, suami hendaklah bersetuju menggunakan condom lelaki sehingga isteri cukup mahir menggunakan kaedah yang natural.

3) Haid yang teratur setiap bulan. Jika haid berubah dan tidak teratur, hendaklah bertukar menggunakan kaedah yang lebih berkesan.

4) Supaya ia berkesan, hendaklah bersetuju menggabungkan penggunaan kaedah alami ini dengan penggunaan condom lelaki semasa waktu subur, atau tidak membuat hubungan kelamin semasa waktu subur.

Jika nak belajar, Saya akan teruskan....

Ada 3 cara natural method

Sebaik-baiknya menggunakan >1 cara supaya berkesan.

A) Kalendar kesuburan

B) Suhu badan

C) Lendir Cervix

SPERMA SUAMI:

Selepas keluar ke dalam faraj, boleh hidup 3-7 hari. Memerlukan bantuan lendir beralkali yang cair yang datangnya dari cervix (pangkal rahim) untuk masuk ke dalam rahim.

ISTERI:

Kenali diri sendiri dalam masa 3 bulan untuk mengetahui bila masanya ovulasi berlaku. Catat dalam kalendar kesuburan. Hari pertama ialah hari permulaan haid. Haid yang teratur datangnya setiap 24 - 35 hari. (Jika >35 hari, kaedah ini kurang berkesan. Cari lah kaedah yang lain). Ovulasi boleh berlaku sekali, di antara hari ke 7 - 21, dan ini boleh bertukar setiap bulan.

Bilakah peringkat subur:

Bermula dari 6 hari sebelum ovulasi (sebab sperma boleh tunggu disitu) sehingga 2 hari selepas ovulasi (sebab ovum hanya boleh hidup 24 jam).

Membuat hubungan kelamin di peringkat subur ini tidak digalakkan atau pakailah condom lelaki.

Bilakan peringkat tidak subur:

3 hari selepas ovulasi sampai datangnya haid. Tak perlukan apa-apa perlindungan jika membuat hubungan kelamin di peringkat ini. Al-Azl pun tak payah.

A) Kalendar Kesuburan

Catatkan bila datangnya haid pada 3 bulan berturut-turut.

Hari pertama kesuburan = bulan yang paling pendek ditolak 20 hari.

Hari terakhir kesuburan = bulan yang paling panjang ditolak 10 hari.

Contohnya, jika dalam 3 bulan itu, haid datang setiap 28 hari, kemudian 31 hari, dan kemudian 32 hari. Bulan terpendek = 28 hari, Bulan terpanjang = 32 hari.

Hari pertama kesuburan = 28-tolak 20 hari = 8.

Hari terakhir kesuburan = 32-tolak 10 hari = 22.

Jadi tidak digalakkan membuat hubungan kelamin daripada hari 8-22 tanpa menggunakan condom.

B) Suhu Badan:

Beli lah digital thermometer yang menunjukkan bacaan dengan skala 0.1C.

Setiap pagi bila terjaga pagi, sebelum bangun dari katil, catatlah bacaan suhu badan. Selepas ovulasi, suhu badan akan naik > 0.2C untuk 3 hari berturut-turut.

Hanya boleh membuat hubungan kelamin tanpa perlindungan selepas 3 hari berturut-turut suhu badan naik sebanyak 0.2C, jika dibandingkan dengan suhu badan pada 6 hari sebelumnya.

C) Lendir Cervix:

Selepas ovulasi, ovari mula mengeluarkan hormon progesterone yang menyebabkan lendir Cervix menjadi pekat dan melekit. Sebelum ovulasi lendir cervix cair tidak melekit seperti telur putih mentah. Bila lendir cervix tidak lagi cair dan menjadi melekit (atau TIDAK ADA LENDIR) selama 3 hari berturut-turut, selepas 3 hari ini boleh membuat hubungan kelamin tanpa perlindungan sehingga datangnya haid.

Masukkan jari ke dalam faraj sampai ke Cervix untuk mencalit sedikit lendir di jari, dan kemudian lihat samada melekit atau cair.

Gabungkan ketiga-tiga cara supaya paling berkesan. Kalau mengikut seperti di atas, mulakan menggunakan condom pada hari ke 8 (hari kesuburan pertama) sehingga 3 hari suhu badan naik dan 3 hari tidak ada lendir Cervix. Selepas itu tidak perlukan perlindungan sehingga datangnya haid.

Kaedah Al-Azl kurang berkesan jika dibandingkan dengan menggunakan condom. Ada wanita yang belajar menggunakan condom wanita (diaphragm), yang itu boleh tunjuk-ajar di klinik sahaja.

Untuk paling berkesan, hanya membuat hubungan kelamin selepas 3 hari suhu badan naik dan 3 hari tidak ada lendir Cervix, iaitu masa yang tidak subur. Yang penting, belajar supaya tahu sendiri bilakah peringkat yang subur untuk badan anda dan bilakah tidak subur. Setiap wanita lain, setiap bulan mungkin lain. Kalau ada motivasi dan disiplin, dan kerjasama suami untuk menggunakan kaedah alami/natural supaya berjaya merancang sendiri, silakan lah.

Selalunya lepas penat saya mengajar bagaimana nak berjaya menggunakan kaedah natural method ni, patient saya kata, "oooooooo terimakasih , saya telan pil sajalah doc!" =)

Kredit: Prof Dr Imelda,

Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur