Baru-baru ini, viral di media sosial penjualan pinggan mangkuk bercorak oriental yang cantik dan klasik namun dijual dengan harga yang cukup murah serendah 50 sen. Maka, ramailah yang berkenan untuk dijadikan koleksi peribadi.Hakak pun tak terkecuali.

Namun disebalik, reka bentuk menarik dan coraknya yang unik, cantik dan tersendiri tersebut, ada dakwaan menyatakan penggunaan pinggan mangkuk bercorak ini bahaya dan boleh memberi kesan pada kesihatan dalam jangka panjang.

Memetik sumber daripada Malay Mail Online,para pengguna dinasihatkan lebih berwaspada menggunakan pinggan mangkuk beraneka corak yang tular di media sosial kini, kata seorang pensyarah Universiti Malaya (UM).

Dr Nor Asrina Sairi berkata kebanyakan pinggan mangkuk yang mempunyai hiasan cantik ini mempunyai logam plumbum (lead) dalam penghasilannya.

“Bahaya untuk jangka masa panjang terutama untuk kanak-kanak, wanita hamil dan bayi, tapi bahayanya itu bukanlah secara terus atau langsung.

“Ia lebih kepada kuantiti yang sedikit, tapi kalau kita kerap guna dan untuk jangka masa lama, ia akan beri kesan kepada kesihatan,”

Pensyarah kanan Jabatan Kimia UM itu berkata lagi pinggan mangkuk berkenaan lebih sesuai dijadikan koleksi hiasan.

Katanya, plumbum yang terlekat di pinggan berkenaan akan mudah terhakis apabila terdedah kepada suhu panas.

“Saya cadangkan pengguna gunakannya untuk perhiasan atau koleksi, elakkan guna untuk hidang makanan harian.

“Kalau warna atau sadurannya di luar, itu OK lagi, tapi bila sekarang trend baru di bahagian dalam pun disalut, itu yang kita agak khuatir,”

Kesimpulannya, lebih berhati-hatilah dalam penggunaan material untuk pinggan mangkuk. Pinggan mangkuk corak menarik ini lebih sesuai dijadikan hiasan berbanding penggunaan harian.

Sumber: Malay Mail Online