Marah bukanlah satu perkataan baru bagi kita semua. Saya juga yakin yang semua daripada kita pernah merasai marah. Marah boleh dilihat di mana sahaja terutama sekali di jalan raya. Marah boleh menghasilkan banyak perkara di luar jangkaan.

 

Jika kita baca surat khabar harian, boleh saya katakan ada sahaja cerita tentang akibat dari berlakunya kemarahan. Bahkan ada yang samapi meragut nyawa. Mungkin mereka yang marah tidak berniat untuk meragut nyawa orang lain tetapi marahnya membuatkan kewarasan seseorang itu hilang tenggelam di bawa emosi. Hanya sesalan yang mampu dikatakan apabila mereka melihat hasil kemarahan.

 

Saya mengkategorikan orang yang marah ini kepada dua jenis. Pertama adalah pemarah. Jenis pemarah adalah kategori yang kerap saya jumpa. Mereka yang duduk dalam kelompok ini cukup senang untuk marah.

 

Emosi mereka ini pada saya tidak berada dalam keadaan stabil. Apa sahaja yang tidak kena di mata mereka akan mencetuskan kemarahan. Mereka juga sering marah tanpa ususl periksa. Sering kali berlaku apa yang mereka marahkan merupakan perkara yang tidak patut dimarahi dan perkara yang benar.

 

Setelah api kemarahan mula kecil, mereka mula sedar akan kesilapan diri dan ini membuatkan mereka malu sendiri. Meskipun begitu ego membuatkan mereka menolak untuk melakukan permohonan maaf atas kemarahan yang telah ditunjukkan sebelumnya.

 

Kategori yang kedua pula merupakan orang yang panas baran. Ramai orang pada saya menjadikan orang yang berada di kelompok pemarah itu sama dengan kelompok panas baran. Pada saya ada bezanya.

 

Orang yang panas baran merupakan orang yang rasional. Orang yang panas tidak marah sekerap orang yang pemarah. Mereka sebolehnya menahan api kemarahan di dalam diri.

 

Cuma, apabila mereka marah banyak perkara akan berlaku. Jika orang yang pemarah, marah itu ditonjolkan dengan mulutnya yang bising. Mereka akan mengomel dan meninggikan suara hingga marah mereka mula kendur. Orang yang pemarah akan mengambil masa yang lama untuk meredakan apinya.

 

Berbeza dengan orang yang panas baran. Panas baran merupakan api besar yang menyala terus hingga luahan fizikal berlaku. Orang yang panas baran akan menunjukkan api kemarahannya dengan aktiviti fizikal dan ia boleh membawa kecederaan pada orang lain atau kerosakan pada harta benda. Namun mereka cepat reda tetapi keredaan itu berlaku selepas wujudnya kerosakan fizikal.

 

Keceriaan bawa rezeki

Biar yang mana satu kategori dipilih, pada saya kedua-duanya tidak mendatangkan hasil yang baik. Bahkan si pemarah lama kelamaan akan bertukar menjadi orang yang panas baran apabila api kemarahan dikumpul di dalam diri.

 

Saya pernah bertanya kepada mereka yang berada dalam kedua-dua kelompok, apakah yang mereka rasakan setelah api kemarahan itu dikeluarkan daripada diri. Jarang sekali mendengar sesalan daripada mereka kerana pada mereka, mereka duduk di pihak yang betul.

 

Lalu apabila ditanya, tidak adakah jalan penyelesaian selain menggunakan api kemarahan. Sering kali jawapan yang saya terima yang jalan keluar lain wujud namun mereka tidak dapat mengawal kemarahan mereka.

 

Apa yang mereka rasai apabila selesai mengeluarkan kemarahan adalah keletihan. Sama ada mereka seorang pemarah atau orang yang panas baran, mereka tetap akan merasai keletihan cuma nilai keletihan itu yang berbeza.

 

Keletihan yang berlaku akibat kemarahan bukanlah sebaik keletihan yang terhasil dari bersukan. Apabila kita bersukan, keletihan itu tidak tidak bersama emosi negative dan ia membuatkan fikiran semakin cerah. Fikiran yang cerah membawa kepada keceriaan.

 

Seperti yang pernah saya nyatakan, keceriaan membawa rezeki yang banyak. Orang ceria merupakan orang yang mudah jalan rezekinya. Apabila keletihan itu berlaku akibat daripada api kemarahan, ia membunuh keceriaan.

 

Hasilnya boleh dilihat, rezeki orang yang senang marah mahupun yang panas baran sering tersekat-sekat atau mungkin kurang dan boleh jadi juga cukup memeritkan. Ini kerana api kemarahan itu mengecilkan wadah atau bekas rezeki seseorang.

 

Oleh yang demikian, seseorang itu perlu menguruskan api kemarahan yang ada adalam diri. Apabila api kemarahan diuruskan dengan betul ini tidak bermakna hilang terus kemarahan daripada diri seseorang.

 

Marah tetap wujud tetapi kali ini ia cukup sukar terbit dan marahnya juga adalah marah berhikmah. Mereka yang mempunyai marah berhikmah hanya akan marah apabila ia melibatkan isu-isu yang besar dan membabitkan maruah diri atau agama.

 

Langkah awal untuk menguruskan api kemarahan adalah dengan menjaga jenis makanan yang dimakan. Apabila kita memakan makanan yang boleh mencetuskan emosi seperti organ dalaman dan makanan yang pedas, ianya akan menambah emosi sedia ada manusia. Akibatnya, api kemarahan dalam diri akan bertambah dan cukup mudah membakar diri. Selain itu seseorang itu mesti kerap bersentuhan dengan air. Justeru itu apabila marah kita perlu wuduk.

 

Pengurusan maraj itu juga boleh dimulakan dengan menjaga jumlah air yang diminum. Mereka yang banyak minum air atau banyak mandi, insya-Allah dapat mengurangkan api kemarahan.

 

Ingatlah marah hanya membawa keletihan dan kecelakaan pada rezeki anda. Baginda SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim bahawasanya bukanlah orang yang kuat itu selalu menumpaskan orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.

 

Sedikit coretan mengenai kemarahan dalam topik Rahsia Wanita, untuk ketahui pelbagai info menarik dan motivasi berguna untuk diri kita, jangan lupa dapatkan majalah Mingguan Wanita di pasaran!