Bakal menjadi ibu? Subhanallah! Satu rahmat dan anugerah serta rasa teruja yang tidak dapat diluahkan dengan apa jua cara.

 

Rata-rata wanita yang berkahwin akan risau jika lewat hamil, bimbang jika gagal melahirkan zuriat buat suami tercinta, takut jika dikata si mertua sebagai mandul. Sebaik saja disahkan hamil, hanya Dia yang tahu segala isi hati bakal ibu.

 

Segalanya indah belaka hingga ramai juga yang terlupa, dikurniakan anugerah menjadi seorang ibu bukanlah satu kebanggaan atau bukti ‘ketidakmandulan’, bukan juga kejayaan meneruskan kelangsungan keturunan si suami tersayang malah bukan juga satu kuasa besar.

 

Saya akui dan yakin semua maklum betapa seorang ibu wajib dihormati, tidak boleh disakiti malah tidak boleh dikecilkan hatinya. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan kewajipan tersebut antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “uh” dan janganlah engkau menengking, menyergah mereka tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)”

 

Firman-Nya lagi dalam surah Lukman ayat 14 bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapa mu dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

 

 

Anak lebih perlukan ibu

Daripada dua hujah yang amat jelas ini, diakui kehebatan seorang ibu yang wajib dihormati dan menjadi kesalahan besar jika hatinya disakiti. Namun, kedudukan dan darjat tersebut bukan sebagai satu kuasa sebaliknya merupakan satu amanah dan juga tanggungjawab.

 

Tanggungjawab untuk mengasuh si anak sejak kecil, kemudian bersama suami pula untuk mendidik dan membimbing si anak menjadi insan berguna untuk diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan agama. Termasuklah juga tanggungjawab untuk memastikan si anak sentiasa kekal dalam redha Allah Taala dengan mendahulukan redha anda sebagai ibunya kepada si anak.

 

Malangnya, ada ibu yang menyisihkan si anak kerana cinta baru tatkala ayah si anak membuat onar. Dek kerana mengikut perasaan, si anak tidak dipedulikan, dibiarkan menguruskan diri sendiri, tanpa perhatian, tanpa belaian sedangkan tika itu si anak amat memerlukan perhatian si ibu kerana si ayah telah gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Saya pernah ditanya oleh ibu sebegini: “Kenapa saya saja kena ingat tanggungjawab saya tapi dia boleh buat tak tau?”  Jawapan mudah dan ringkas: “Kerana anda adalah ibu dan anda bukan ayah.” Ibu diberikan martabat yang tinggi berbanding ayah.

 

Dalam satu hadis, ketika seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai individu yang perlu dihormati, Rasulullah SAW mengulangi tiga kali menyebut ibu kemudian di tempat keempat, barulah disebut ayah. Mengikut hukum syarak dan undang-undang juga, si ibu lebih berhak ke atas hak jagaan si anak jika ditakdirkan berlaku perceraian di dalam perkahwinan.

 

Dua fakta ini menjadi bukti dan tanda, anak lebih memerlukan ibunya berbanding si ayah. Lantaran si ibu perlu melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan meminggirkan emosi sendiri atas nama kasih sayang suci seorang ibu dan seorang anak. Benarlah si ayah bertanggungjawab untuk membiayai segala keperluan si anak tetapi dalam kebanyakan kes perceraian, biar pun si ayah gagal melaksanakan tanggungjawab ini, si anak masih boleh hidup dalam keadaan yang baik kerana si ibu berusaha untuk memberikan yang terbaik buat anaknya. Inilah keistimewaan yang diiktiraf oleh agama dan masyarakat umumnya.

 

Saya banyak menerima kes perkahwinan yang bagai telur di hujung tanduk apabila si ibu yang tidak dapat menerima menantu pilihan. Mereka memberi pilihan sama ada menantu tersebut diceraikan atau si anak diiktiraf sebagai anak derhaka.

 

Saya pernah dengar luahan ibu; anak tak guna; anak kurang ajar; anak tak kenang budi; malah ada ibu yang sanggup mendoakan malapetaka untuk si anak; matilah kau; aku tak redha hidup kau kat dunia; celakalah hidup kau dan macam-macam lagi. Kenapa perlu bertindak sedemikian?

 

Saya seorang ibu juga ‘ayah’ kepada tiga orang anak. Saya mengerti kekalutan dan kemelut anda menghadapi kerenah anak-anak. Namun, perlu diingat; anak-anak kita juga manusia biasa. Yang tak pernah lepas daripada tersalah dan tersilap. Sebagai ibu, anda sepatutnya mendoakan yang terbaik untuk anak-anak.

 

Biar anak-anak tidak mendengar kata atau melawan cakap; jangan sekali-kali mengherdik atau mencaci maki mereka. Jangan paksa anak-anak hormati anda sebaliknya tunjukkan kepada anak-anak keperibadian anda yang selayaknya sebagai ibu yang wajar dihormati. Berusaha untuk memaafkan setiap kesilapan anak anda biarpun si anak belum memohon maaf. Ada ketikanya si anak tidak berniat untuk menyakiti malah tidak sedar telah menyakiti hati anda. Kasihanilah dan sayangilah anak anda!

 

Kesilapan anda menurut kata hati yang kecewa boleh memusnahkan hidup anak anda, bukan saja di dunia tetapi juga di akhirat nanti. Gunakanlah kuasa yang Allah anugerahkan kepada anda untuk membahagiakan anak anda, insya-Allah mampu membahagiakan anda juga, andai anda berdoa memohon kepada-Nya!! Selamat Hari Ibu khusus untuk emak tersayang; Che Su Md Isa, juga kepada semua ibu. Moga amanah ini berjaya kita galas bersama!

 

Selongkar pelbagai motivasi dan petua-petua dalam ruangan Sajian Rohani yang lebih menarik menerusi MW keluaran 1538. Dapatkan majalah MW terbaru di pasaran!