Perasaan bersalah sentiasa menghantui kehidupan manusia apatah lagi jika ada melakukan dosa-dosa besar. Inilah yang dikongsikan oleh seorang isteri yang mengakui pernah berzina dengan lelaki lain semasa dalam perkahwinan bersama suaminya. Semoga kisahnya menjadikan tauladan buat semua.

 

Apa yang saya ingin kongsi ini merupakan satu luahan rasa. Rasa berdosa dan menyesal dengan semua kesalahan dan dosa yang saya telah lakukan. Untuk makluman, saya sudah mendirikan rumah tangga sejak 11 tahun lalu.

 

Dalam melayari bahtera rumah tangga ini, banyak onak dan duri dilalui dan hanya empat tahun pertama saya kecapi kebahagiaan hidup bersama suami. Masuk tahun seterusnya hingga kini, sukar saya mentafsirkan rasa bahagia itu kerana semuanya berubah.

 

Saya seorang yang berkerjaya manakala suami pula mengharapkan hasil titik peluh saya untuk menampung makan dan minumnya. Bertahun-tahun dia tidak bekerja dan kini baru saja bekerja untuk tempoh empat ke lima bulan ini.

 

Dalam mencari rezeki untuk keluarga ini, saya tinggal di Kuala Lumpur manakala suami dan anak-anak di utara tanah air. Setiap minggu, saya akan pulang ke kampung melihat anak-anak dan menghantar duit belanja untuk saraan hidup mereka.

 

Suatu hari saya berkenalan dengan seorang lelaki yang juga berstatus suami orang. Dari satu pertemuan, hubungan kami menjadi lebih rapat seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi. Rapat dalam erti kata lain, mengisi kekosongan hati antara satu sama lain.

 

Sekali pun saya bekerja di Kuala Lumpur manakala “si dia” pula di utara tanah air namun demi saya, dia sanggup berulang-alik dari sana ke Kuala Lumpur menemui saya. Sikapnya begitu mengambil berat membuatkan saya bertambah rasa sayang kepadanya. Lebih membuatkan hubungan kami bertambah rapat, apabila bertemunya, isteri “si dia” sedikit pun tidak pernah menelefon bertanyakan suaminya di mana dan sebagainya.

 

Hanyut dengan cinta membuatkan saya terjebak dengan dosa besar. Lupa pada dosa yang dilaknat Allah yakni dosa zina. Kami terlanjur beberapa kali. Saya pernah mengajukan pertanyaan, mengajaknya berkahwin malah dia juga ada menyuarakan hal yang sama, yakni mahu mengakhiri hubungan kami dengan perkahwinan namun status saya sebagai isteri orang dan dia sebagai suami orang menghalang segala-galanya.

 

Demi cinta juga, saya pernah minta cerai daripada suami kerana bagi saya, kehadiran suami tidak ada ertinya lagi dalam kehidupan saya. Selama lima tahun saya hidup sendirian, menguruskan segala-galanya namun suami sedikit pun tidak mahu melepaskan saya.

 

 Sikapnya yang enggan melepas saya membuat saya tertanya-tanya di dalam hati, apa sebenarnya yang suami mahukan. Tapi sikapnya itulah membuatkan saya mula tersedar daripada kesilapan yang telah saya lakukan.

 

Pada awalnya, saya memang berat untuk melupakan “si dia” kerana rasa sayang yang wujud kepadanya, malah dia juga begitu, sukar melupakan saya. Setelah dua tahun bergelumang dengan dosa, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berubah dan bertaubat.

 

Pun begitu, di sebalik rasa taubat ini, wujud rasa takut untuk melalui hari-hari yang mendatang kerana saya tidak dapat melupakan dosa-dosa silam. Semakin saya memohon kepada Allah, semakin kuat rasa ingatan saya terhadap “si dia”. Mungkin inilah ujian hidup saya.

 

Puan kaunselor, saya ingin menunaikan umrah tetapi sudah dua kali ditangguhkan kerana saya diburu ketakutan apa yang akan terjadi di Tanah Suci nanti. Saya sudah memohon keampunan kepada suami dan suami sudah memaafkan saya tetapi bagaimanakah dengan isteri “si dia”? Perlukah saya memohon kemaafan darinya? Persoalan ini berlegar-legar di hati saya kerana saya sering ternampak wajah wanita itu dalam mimpi atau di dalam keadaan sedar. Berilah saya panduan, apa yang harus saya lakukan?

 

Adakah dengan memohon maaf dari isterinya hati saya akan tenang dan tidak lagi diburu bayangan lalu. Adakah dengan memohon maaf daripada dia boleh meruntuhkan rumah tangganya? Pelbagai perkara saya fikirkan. Bantulah saya.

 

 

SARANAN DR AZNIZA

 

Assalamualaikum wrt,

Puan yang dimuliakan,

 

Perzinaan adalah perbuatan terkutuk yang dilaknati Allah SWT, kerana ia membawa kepada keruntuhan maruah, penyelewengan zuriat keturunan serta tidak ada jaminan bertanggungjawab atas perbuatan itu.

 

Islam memandang berat dan mengenakan hukuman rejam sampai mati ke atas penzina. Hukuman ini menunjukkan bertapa seriusnya Islam dalam menangani perbuatan tidak bermoral ini.

 

Melayan nafsu yang membawa kepada perzinaan adalah dorongan syaitan yang sentiasa menyesatkan manusia yang leka. Tidak hairanlah hubungan yang asalnya seorang kawan, teman baik, teman tapi mesra dan pelbagai istilah lagi adalah alasan untuk mengembangkan sayap perzinaan yang akhirnya berakhir dengan pembuktian kasih sayang melalui hubungan seksual yang tiada sempadan.

 

Apa lagi kedua-dua pasangan sudah berkahwin dan mempunyai pasangan hidup masing- masing. Dewasa ini apabila wanita-wanita tidak membatas diri mereka dalam pergaulan maka perzinaan dalam kalangan wanita yang sudah berkahwin semakin meningkat.

 

Kumpulan wanita yang sudah berkahwin ini tanpa segan silu menawarkan khidmat seks kepada lelaki idaman mereka dan menjadikan kerjaya, tempat kerja, ‘out station’, ‘assignment’ dan sebagainya sebagai alasan untuk keluar dan menjalinkan hubungan seksual dengan “pasangan” mereka.

 

Ramai yang masih menyayangi suami dan keluarga mereka namun mencari kelainan dan kepuasan maksima. Ada yang cuba keluar dari belenggu kebosanan, mencari kehebatan, mencapai dendam dan ada yang tiada alasan namun mengikut saja kata hati dalam konteks memenuhi tuntutan berasmara dengan pasangan gelap mereka.

 

Ada juga yang  melahirkan anak tidak sah taraf yang diselindungkan dari pengetahuan suami (tidak berterus terang) maka anak tersebut akan selama-lamanya menjadi “tidak sah taraf “. Ini menunjukkan gagalnya institusi kekeluargaan bermula dari pasangan itu sendiri.

 

Puan yang dihormati,

Penyesalan dan bertaubat dari segala dosa adalah perbuatan yang sangat dituntut oleh Islam. Menyesali dengan sebenar-benarnya dan tidak mengulangi semua perbuatan dosa itu semula adalah amalan yang mulia dan perlu disegerakan sebelum Allah SWT menjemput kita kembali kepadanya.

 

Puan perlu bersyukur kerana puan telah digerakkan oleh Allah SWT untuk menyesali dan bertaubat dalam tempoh masih bernafas  dan mampu memohon maaf dengan semua yang terlibat.

 

Namun puan perlu menyusun strategi dalam mempertahankan taubat puan serta perlu tabah dalam memohon keampunan tuhan. Antara perkara yang puan perlu fikirkan iaitu menjauhkan diri daripada pasangan gelap puan, walaupun terpaksa menukar tempat kerja. Ini juga boleh dicapai dengan mengajak suami berpindah dekat dengan puan agar kekosongan puan terisi dan dapat menjalin hubungan yang halal dan diredhai Allah SWT.

 

Puan perlu faham bahawa syaitan akan sentiasa menggambarkan keseronokan zina dan akan membiarkan puan dengan penyesalan demi penyesalan setelah puan melakukan zina. Oleh itu cepat-cepat keluar dari hasutan ini dengan membina benteng keimanan kepada Allah SWT. Kenali kelemahan puan dan cuba penuhi dengan memperbaiki hubungan dengan suami puan bukan mencari cinta lain yang tidak ada jaminan. Sama ada sedar atau tidak puan telah dijadikan dan menjadikan diri puan sebagai hamba seks kepada cinta jarak jauh dalam memenuhi tuntutan seksual semata-mata.

 

Sememangnya kekasih gelap puan akan sanggup melakukan apa saja bagi mendapatkan khidmat seks percuma yang ditafsirkan sebagai cinta. Oleh itu pun, cepat –cepat keluar daripada fantasi ini dan kembali kepada cinta yang sebenar iaitu cinta Allah SWT dan cinta kepada suami puan.

 

Seterusnya puan perlu memperbaiki hubungan dengan suami dan pastikan puan tidak melahirkan anak-anak tidak sah taraf dengan kekasih gelap puan. Jika ini berlaku puan perlu berterus terang dengan suami dan membantu diri puan untuk menerima risiko ini.

 

Cuba fahami suami puan dan bantu suami puan untuk bertanggungjawab sebagai suami. Sikap cemburu suami dalam keadaan ini sangat diperlukan bagi membantu puan tidak menyeleweng dari landasan sebenar. Hargai suami dan terima suami seadanya.

 

Kangan jadikan kelemahan suami sebagai alasan untuk puan berzina. Walau seribu alasan yang puan berikan, puan perlu sedar bahawa perbuatan zina ini adalah salah dan dilaknati Allah SWT. Namun puan masih diberikan kesempatan waktu untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

 

Sememangnya apabila kita sedar daripada kesalahan kita menganggap kita perlu memohon maaf dan mengakui kesilapan kita kepada orang yang berkaitan. Namun puan juga perlu pertimbangkan kebaikan dan keburukan untuk berterus terang akan dosa ini kepada isteri kekasih gelap puan dan suami puan.

 

Jika ia tidak melibatkan penghasilan anak tidak sah taraf dan sebagainya maka cukuplah puan memohon keampunan dari Allah SWT, kerana berterus terang akan mengeruhkan keadaan. Namun jika melibatkan kelahiran anak-anak tidak sah taraf maka orang yang pertama puan perlu berterus terang adalah suami puan. Oleh itu puan perlu belajar untuk meninggalkan masa lalu puan yang hitam pekat serta cuba mencipta bahagia bersama suami puan tanpa mengaitkan kekasih gelap puan lagi.

 

Puan yang dihormati, keluar daripada dosa masa lalu dan bertaubat adalah sikap yang mulia dan terpuji. Tambahan pula jika disertai dengan jemputan ke Baitullah dan menziarahi rasulullah SAW. Oleh itu puan perlu kemaskan diri dan kembali kepada hubungan yang berkat dan halal. Carilah peluang dan ruang  untuk memohon keampunan di Baitullah. Puan perlu positif dengan Allah SWT dan yakin dengan keampunan yang dijanjikan-Nya.

                           

Demikian coreten mengenai masalah seorang isteri di dalam rumahtangga. Jika dipendam mungkin menjadi igauan.Bagi yang berminat untuk berkongsi masalah dalam ruangan ini, hantarkan masalah anda melalui: almaswa@karangkraf.com.my atau hantarkan surat anda ke alamat: YA TUHAN MINGGGUAN WANITA GRUP MAJALAH KARANGKRAF SDN BHD, Lot 25, Premis No. 1, Jalan Renggam 15/5, 40200 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

 

Dapatkan majalah MW terbaru untuk ketahui penjelasan daripada pakar, Prof. Madya Dr Noor Azniza Ishak dengan lebih jelas.