Selain itu beberapa perubahan pada boleh dilihat termasuklah tekstur dan keanjalan kulit mula menurun. Kulit juga lebih kasar dan penghasilan kolagen juga turut berkurangan. Selain faktor usia, aktiviti dan pencemaran juga turut mempengaruhi berlakunya proses penuaan lebih cepat. Tekanan atau stres ditambah pula dengan gaya hidup yang kurang sihat menyebabkan kulit mulai kusam, kering dan sebagainya. Untuk memelihara kulit wajah, anda perlu menitikberatkan soal penjagaan kulit wajah.
 
Rawatan pagi dan malam
Kulit wajah yang bersih mampu menyerap nutrisi lebih maksima. Cuci bersih wajah dengan menggunakan air suam. Pastikan anda memilih pencuci muka yang  sesuai dengan kulit wajah. Bagi anda yang memakai solekan, pastikan anda mencuci bersih wajah. Untuk menanggalkan sisa-sisa solekan dan kotoran dengan  baik, apa kata gunakan berus wajah yang lembut. Urutan halus dari berus wajah ini juga dapat membantu melancarkan peredaran darah pada wajah. Setelah itu, lap dengan tuala bersih. Pastikan tuala wajah di tukar secara berkala untuk mengelakkan bakteria. Akhir sekali, semburkan penyegar atau toner untuk mendapatkan hasil yang lebih maksima sebelum menyapu serum dan juga pelembap. Setelah mencuci wajah dengan pembersih, pakai serum sebelum menyapu pelembap yang sesuai untuk kulit anda. Kemudian barulah disapu krim pelindung cahaya matahari. Begitu juga dengan malam hari. Gunakan krim malam dan juga krim mata.Kandungan yang terdapat di dalam mata membantu memperbaiki dan melindungi kulit sekitar terutama bagi yang sensitif dan cenderung untuk berlakunya garis-garis halus. Bagi anda yang berusia 30-an, gunakan krim yang mengandungi anti kedutan terutama di bahagian hujung mata, dahi dan bahagian tepi bibir. Membersihkan wajah tidak sekadar mencuci wajah dan menyapu pelembap. Sebaliknya, ia perlu di tambah dengan rawatan ekstra untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Antaranya termasuklah bertemu dengan pakar atau doktor kulit sekiranya wajah anda mengalami sebarang masalah.
 
Produk anti penuaan
Penggunaan produk anti penuaan perlulah dimulakan sejak awal, sekurang-kurangnya apabila usia sudah memasuki awal 20-an. Selain penggunaan produk pencuci muka, pelembap dan juga krim pelindung cahaya matahari, susuli rawatan kulit wajah dengan penggunaan produk seperti serum, krim malam dan krim mata.
Sebaiknya, pilih produk rawatan anti penuaan yang sesuai untuk usia anda. Ini kerana, bahan yang terdapat di dalamnya dapat membantu melambatkan proses penuaan. Dalam masa yang sama, jangan abaikan pola makan yang sihat selain mempraktikkan gaya hidup yang sihat.
 
Rutin senaman
Bagi mendapatkan tubuh yang segar dan bertenaga selain menjaga bentuk badan, lakukan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama 30-60 minit. Selain itu, ia juga baik untuk jantung. Bagi anda yang tiada masa untuk bersenam, apa kata cuba gerakan ringan dan mudah dilakukan. Ketika bangun pagi, berjalanlah mengelilingi rumah sekurang-kurangnya 15 minit. Ini membolehkan tubuh terasa lebih segar. Setelah itu, disusuli dengan senaman ringan atau tambahkan senaman lantai yang ringan dan ringkas. Ketika di pejabat rehatlah seketika sekurang-kurangnya 5-10 minit ketika sibuk bekerja. Bangun dari tempat duduk dan hirup udara segar. Regangkan badan dan atur pernafasan sambil memejamkan mata untuk seketika. Ini membolehkan wajah terasa lebih segar dan tubuh lebih relaks. Tekanan kerja dan persekitaran menyebabkan terasa stres sekali gus membuatkan otot-otot wajah menjadi tegang dan ini mudah menimbulkan kedutan terutama di bahagian dahi selain membuatkan wajah kelihatan lebih tua. Justeru, elakkan dari terlalu stres dan berfikiran positif. Ini akan membantu mendapatkan wajah lebih segar dan awet muda berbanding mereka yang banyak berfikir. Lakukan senaman wajah dengan mengunyah makanan lebih lama dan perlahan-lahan. Gerakan otot ini bagus untuk menjaga metabolisme tubuh dan juga baik untuk penghadaman. Ini kerana mengunyah lebih lama akan membantu usus mencerna makanan lebih cepat dan tubuh akan terasa lebih kenyang berbanding jika anda makan secara terburu-buru. 
 
Rehat yang berkualiti
Jaga kualiti tidur anda untuk membolehkan tubuh berehat selain memproses dan memperbaiki sel di dalam badan. Justeru, tidur sekurang-kurangnya 6-7 jam sehari. Jangan biarkan otak tidur di dalam keadaan stres. Pastikan anda tidur tanpa gangguan dari bunyi telefon, buku dan televisyen. Jangan jadikan tempat tidur anda ruang untuk membuat kerja. Bilik tidur harus lah zon yang selesa dan jika mahu menempatkan televisyen di dalam bilik, pastikan anda tidak membukanya kerana ia boleh menyebabkan anda tidak jadi tidur. Nyalakan lampu malap atau gunakan cahaya dari luar sudah memadai kerana tidur di dalam keadaan gelap akan membantu tubuh menghasilkan hormon yang baik untuk pertahanan tubuh sekali gus menjaga sel tubuh dari rosak. Hindari minum terlalu banyak air sebelum tidur kerana ia akan menyebabkan anda terjaga di tengah malam untuk ke tandas sekali gus mengganggu masa tidur anda. 
 
Khasiat air putih
Jangan sesekali meninggalkan pengambilan air putih dalam rutin harian anda. Ini kerana, air putih yang mengandungi hidrogen, oksigen dan mineral mampu membantu melancarkan peredaran darah, membuang kotoran dan toksin di dalam tubuh sekali gus dapat membantu menjaga kelembapan kulit. Selain itu, kekurangan air menyebabkan kulit mudah kering dan ini menyebabkan kulit anda tampak lebih kusam dan mempercepatkan proses penuaan jika dibandingkan dengan kulit yang terpelihara kelembapannya.
 
Pengambilan vitamin
Kandungan vitamin yang terdapat di dalam sayur-sayuran misalnya dapat membantu melindungi dan memperbaiki sel-sel tubuh untuk awet muda. Justeru, pastikan anda memasukkan sekali buah dan sayur sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Contohnya, pilih buah yang kaya dengan serat dan vitamin A, C dan E untuk mendapatkan kulit yang sihat dan awet muda. Manakala Vitamin C yang terdapat di dalam jambu batu, strawberi mahupun brokoli dikatakan dapat membantu untuk antioksida. 
 
Masker wajah
Selain penggunaan produk kecantikan, anda juga boleh menggunakan bahan-bahan semula jadi sebagai benteng dalam memelihara kulit wajah. Antaranya penggunaan telur putih yang dicampurkan dengan limau nipis dan diadun sebati. Penggunaan putih telur dapat membantu mengencangkan kulit selain membantu mengecilkan liang-liang roma. Kandungan protein di dalam telur juga boleh membantu melembapkan kulit serta mempercepatkan proses regenerasi. Manakala limau nipis pula kaya dengan vitamin C yang berfungsi sebagai antioksida untuk membantu melawan penuaan. Sebaiknya, lakukan masker ini sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk hasil yang lebih maksima.
 
Cantik di hati:
Jika semua yang kita kehendaki terus kita miliki dari mana kita belajar ikhlas.
Jika semua yang kita impikan segera terwujud dari mana kita belajar sabar.
Jika setiap doa kita terus dikabulkan bagaimana kita dapat belajar ikhtiar.
Jika hidup kita selalu bahagia bagaimana kita dapat kenal Allah lebih dekat.
Yakinilah dan percaya segala ketentuan-Nya adalah terbaik untuk kita.